PENAMPANG: 31 Mei 2026 – Dewan Hongkod Koisaan KDCA bergema dengan sorakan dan laungan sokongan lebih daripada 1,500 pengunjung yang membanjiri pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Seawal pagi, penyokong dari pelbagai daerah hadir membawa sepanduk, pakaian tradisional dan sorakan tersendiri untuk memberikan semangat kepada wakil masing-masing yang bersaing merebut gelaran berprestij itu.
Pertandingan kali ini menghimpunkan 53 peserta dari seluruh Sabah, menjadikannya antara acara paling dinantikan setiap tahun.
Edisi 2026 turut memperkenalkan format baharu: markah peserta direset selepas pemilihan 25 terbaik dan sekali lagi selepas tujuh finalis dipilih, bagi memastikan persaingan lebih terbuka dan seimbang.
Proses penilaian dikendalikan panel juri yang dipilih dari pelbagai daerah di Sabah, masing-masing berpengalaman dan berintegriti, demi keputusan yang profesional, telus dan adil.
Sorakan tanpa henti dari penyokong sepanjang pertandingan membuktikan Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan ratu cantik, sebaliknya platform yang menyatukan masyarakat melalui penghargaan terhadap warisan, budaya dan identiti etnik di Sabah.
