STAR Kiulu Pilih Kestabilan, Sokong Joniston

Terence Kiulu e1779109141917

KIULU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kiulu menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, bagi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan politik serta masa depan rakyat di kawasan tersebut.

Keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Bahagian STAR Kiulu yang berlangsung Ahad lalu, yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian, Terence Sinti.

Menurut Terence, keputusan tersebut mencerminkan pendirian STAR Kiulu yang mengutamakan pendekatan politik yang matang dan strategik demi kepentingan rakyat.

“Bagi kami, rakyat tidak lagi memerlukan politik yang hanya dipenuhi konflik, ego dan persaingan tidak berkesudahan.

“Rakyat mahukan hasil, kestabilan dan kepimpinan yang mampu bekerja. Atas sebab itu, STAR Kiulu melihat kerjasama dan sokongan kepada YB Datuk Joniston Bangkuai sebagai satu langkah politik yang tepat, rasional dan berpandangan jauh demi memastikan suara rakyat Kiulu terus berada dalam arus utama pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa persaingan dalam pilihan raya adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun mandat yang telah diberikan oleh rakyat perlu dihormati dan diutamakan.

“Apabila rakyat telah membuat keputusan, itu adalah mandat yang wajib dihormati. Kita tidak boleh terus terperangkap dalam perbezaan lalu sehingga mengabaikan keperluan rakyat. Kita mahu melihat Kiulu terus maju, rakyat terbela dan pembangunan berjalan lancar. Justeru, STAR Kiulu komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada YB Joniston dalam semua usaha yang memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, STAR Kiulu menegaskan komitmennya untuk terus berperanan sebagai rakan strategik yang konstruktif dengan menyuarakan pandangan secara berhemah, memberikan teguran membina serta menjadi penghubung antara rakyat dan kepimpinan.

Menurut Terence, kepimpinan yang kukuh perlu berasaskan keberanian mendengar suara akar umbi serta kesediaan memperbaiki kelemahan demi kepentingan rakyat.

“STAR Kiulu akan terus mempertahankan prinsip politik berintegriti — menyokong apabila dasar dan tindakan memihak kepada rakyat, serta menegur apabila terdapat keperluan demi memastikan kepentingan rakyat Kiulu sentiasa diutamakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal