Ugut bunuh, penolong pengurus kewangan ditahan

Copy of Gambar Artikel 1 20260428 211513 0000

TAWAU: 5 Mei 2026 – Tindakan seorang lelaki menghantar ugutan bunuh melalui aplikasi WhatsApp membawa padah apabila dia ditahan polis dalam satu operasi di sekitar bandar ini, pada 4 Mei.

Suspek berusia 59 tahun yang bekerja sebagai penolong pengurus kewangan ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, memaklumkan kejadian berpunca dari salah faham berkaitan urusan kerja antara suspek dan mangsa, seorang lelaki berusia 36 tahun.

Menurutnya, pertelingkahan itu berlaku pada 30 April lalu sebelum suspek didakwa menghantar pesanan suara berunsur ugutan kepada mangsa melalui WhatsApp pada awal pagi keesokan harinya.

Bimbang dengan ancaman tersebut, mangsa tampil membuat laporan polis sebelum tindakan susulan diambil pihak berkuasa.

Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan suspek, selain polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menghantar mesej berkenaan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Polis menegaskan bahawa sebarang bentuk ugutan, sama ada secara lisan atau melalui platform digital, merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Orang ramai turut dinasihatkan agar mengendalikan konflik secara profesional dan tidak mengambil tindakan melulu yang boleh membawa implikasi jenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal