Pusat jagaan warga tua Sabah perlu sokongan lebih menyeluruh – Julitah

photo 2026 04 09 10 38 35

Julita (dua kanan) menerima cenderamata daripada Rachel semasa lawatan

PAPAR: 9 April 2026– Pusat jagaan warga tua di Sabah masih berdepan pelbagai kekangan operasi walaupun menerima bantuan kerajaan, sekali gus menuntut penyelarasan lebih kukuh dan sokongan lebih meluas dari pelbagai pihak.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki, berkata keadaan itu dikenal pasti hasil lawatan ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard di Kinarut, yang memperlihatkan jurang berterusan dari segi pembiayaan dan kemudahan asas.

photo 2026 04 09 10 38 39
Julita menyampaikan angpau kepada penghuni Rumah Warga Tua Sri Pritchard semasa lawatan

Menurut beliau, bantuan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan operasi pusat jagaan, khususnya dalam aspek penyelenggaraan dan kemudahan asas seperti bekalan air. Isu tersebut akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, kementerian akan mempergiat kerjasama dengan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bagi memperkukuh sokongan kepada pusat jagaan warga tua di seluruh negeri. Pendekatan ini merangkumi sumbangan dalam bentuk program sukarelawan, perkhidmatan kepakaran dan bantuan kewangan.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan komuniti yang lebih tersusun dalam memastikan kesejahteraan warga emas terus terpelihara, khususnya ketika permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan semakin meningkat.

photo 2026 04 09 10 38 28
Julita (lima kanan) memotong kek hari jadi bersama penghuni Rumah Warga Tua Sri Pritchard

Terdahulu, lawatan tersebut diadakan sempena Majlis Kong Xi Raya dan sambutan hari jadi penghuni bagi tempoh Januari hingga April, selain aktiviti santai bersama warga emas.

photo 2026 04 09 10 38 32
Julita (empat kiri) ceria selepas membeli sayur-sayuran yang ditanam secara hidroponik oleh penghuni rumah tersebut. Rachel berada di tiga kiri.

Dalam perkembangan sama, beliau memuji inisiatif projek hidroponik yang diusahakan penghuni pusat berkenaan sejak tahun lalu. Projek tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada warga emas untuk kekal aktif, malah membantu menjana pendapatan melalui penjualan sayur-sayuran kepada pengunjung dan kakitangan.

Usaha seumpama itu disifatkan mampu menjadi model kepada pusat jagaan lain dalam menggalakkan penuaan aktif dan meningkatkan kualiti hidup warga emas di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal