Belia Sabah Tuntut Ketelusan Rundingan 40%: “Tiada Kepercayaan Tanpa Pendedahan”

Sabah movement

KOTA KINABALU: 8 April 2026 – Sekumpulan wakil belia Sabah menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan mendedahkan secara menyeluruh butiran rundingan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri, susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan kes tersebut pada 6 April lalu.

Sabah movement5 1
Aktivis Belia Kemuhakan Movement

Menurut kenyataan media bersama wakil belia UPKO, SAPP, WARISAN dan Aktivis Belia Komuhakan Movement, mereka menegaskan bahawa ketelusan adalah asas utama untuk membina semula kepercayaan rakyat, selain mempersoalkan keikhlasan kerajaan Persekutuan yang didakwa masih gagal menunjukkan kemajuan konkrit dalam rundingan yang telah berlarutan sekian lama.

Kenyataan itu turut menggesa pendedahan terperinci melibatkan semua mesyuarat berkaitan sejak keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025, termasuk maklumat kehadiran, agenda, hasil perbincangan dan tindakan susulan. Selain itu, semua mesyuarat yang ditangguhkan atau dibatalkan juga perlu dijelaskan secara terbuka bersama sebab-sebabnya.

Menurut mereka, kegagalan memberikan maklumat yang jelas hanya akan menimbulkan persepsi bahawa rundingan tersebut sekadar melengah-lengahkan penyelesaian isu yang telah berlarutan selama puluhan tahun. Mereka juga menyifatkan penggunaan alasan “kerumitan” sebagai tidak lagi relevan tanpa bukti kemajuan sebenar.

Dalam masa sama, platform pemantauan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikritik sebagai tidak berfungsi secara substantif kerana hanya memaparkan status umum tanpa menyediakan akses kepada data asas, formula pengiraan dan dokumen rasmi yang diperlukan untuk semakan awam.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa dengan penangguhan garis masa mahkamah, tanggungjawab kini terletak sepenuhnya kepada kepimpinan negeri untuk menunjukkan ketegasan politik dalam mempertahankan hak Sabah.

Sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat, kumpulan tersebut turut menuntut pendedahan penuh laporan audit berkaitan pengiraan hak 40 peratus dan pemuktamadan segera formula pembayaran, termasuk pengumuman angka rasmi bagi tahun 2025 dan 2026.

Sehubungan itu, orang ramai turut diseru untuk menyertai satu himpunan aman yang dijadualkan berlangsung di Gaya Street pada 10 April ini bagi menuntut akauntabiliti politik dan ketelusan dalam isu berkenaan.

Kenyataan tersebut menegaskan bahawa kepercayaan rakyat hanya boleh dibina melalui fakta dan tindakan nyata, bukan sekadar retorik, sambil memberi amaran bahawa kegagalan memastikan ketelusan akan memberi kesan sokongan rakyat pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal