KOTA KINABALU: 5 May 2026 – Tindakan kerajaan Persekutuan dalam merayu keputusan Mahkamah Tinggi ke atas 40% dan permohonan lewat pelaksanaan keputusan Mahkamah jelas menunjukkan keengganan kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan mandatori dalam tempoh 90 hari, dan menentukan jumlah sebenar Peruntukan Khas 40% untuk tempoh 1974 hingga 2021 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah untuk dilaksanakan dalam tempoh 180 hari, kata Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, bagi rakyat biasa Sabah, ia ditafsirkan sebagai niat yang jelas untuk tidak menghormati hutang Peruntukan Khas 40% kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Walaupun PM Anwar Ibrahim menekankan bahawa tidak ada pertikaian mengenai hak Sabah mendapat 40% dan tidak ada rayuan oleh kerajaan Persekutuan ke atas hak tersebut.
Sehubungan itu, rakyat Sabah telah melihat melalui agenda tersembunyi kerajaan Persekutuan yang terus enggan memulangkan hasil 40% kepada Sabah seperti yang diperuntukkan secara perlembagaan. Seiring dengan itu katanya, para pemimpin Sabah dalam kerajaan turut dilihat sebagai lemah oleh rakyat Sabah, dan tidak berani berdiri untuk mempertahankan Sabah di hadapan para pemimpin persekutuan.
Dr Jeffrey menekankan bahawa keputusan kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri untuk gagal melaksanakan keputusan Mahkamah adalah sama dengan keengganan untuk mematuhi kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Tegasnya, satu lagi akibat serius dari kegagalan mereka untuk mematuhi adalah berupa penghinaan mahakamah yang membuka potensi prosiding komital terhadap Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah.
Beliau berkata, apa pun keputusan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan dan permainan kata-kata “tidak merayu terhadap 40%”, jalan ke hadapan ialah untuk Sabah memastikan pengembalian Peruntukan Khas 40%, berpotensi RM20 bilion setahun. Terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan mekanisme untuk memantau, menjejak dan menentukan hasil yang diperolehi dari Sabah dan untuk memperuntukkan kutipan 60%:40%
Menurutnya, dengan kecanggihan digitalisasi dan penggunaan kecerdasan buatan, Sistem Penjejakan Hasil boleh diwujudkan dengan mudah untuk memantau dan menjejak semua hasil yang diperoleh dari Sabah berdasarkan data tersedia yang dimasukkan ke dalam Sistem, yang akan mengira secara automatik 40% sebenar yang perlu dibayar kepada Sabah.
Tambahnya lagi, yang diperlukan hanyalah kehendak politik kerajaan persekutuan untuk bersetuju melaksanakan Sistem Penjejakan Hasil, dan kerajaan Sabah mendesak untuk melaksanakan Sistem tersebut. Jika kerajaan Sabah tidak bangkit dan menuntut pelaksanaan 40%, kerajaan Persekutuan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak bersetuju untuk melaksanakan Sistem tersebut.
Dr Jeffrey menekankan bahawa sistem ini juga akan mengatasi keengganan kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan butiran dan jumlah kutipan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah untuk pengiraan Peruntukan Khas 40%.
“Saya sebenarnya telah mencadangkan Sistem Penjejakan Hasil sedemikian kepada kerajaan Sabah untuk dilaksanakan,” kata Dr Jeffrey.
Beliau berkata sistem ini boleh dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan pada akhir tahun 2026, Sabah seharusnya dapat melihat pemulangan hasil 40% yang menjadi haknya.
Dr Jeffrey akhiri dengan berkata, penerimaan jumlah sebenar 40% akan membolehkan Sabah membangun dengan pesat mengikut potensi sebenarnya dan membolehkan rakyat Sabah menikmati hasil, pembangunan dan kemakmuran yang sepatutnya menjadi hak mereka.
