TAWAU: Seekor buaya tembaga seberat kira-kira 200 kilogram dan sepanjang 10 kaki 6 inci berjaya ditangkap selepas hampir 10 jam operasi bersepadu di kawasan Asia Aquaculture, Jalan Wakuba, Tawau, kelmarin.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 9.05 pagi selepas reptilia berkenaan dikesan di kawasan kolam penternakan udang.
Sepasukan anggota APM yang diketuai oleh Lt. M (PA) Muhammad Anuar Wong bin Abdullah, terdiri dari dua pegawai dan lima anggota lain-lain pangkat telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut APM, kehadiran buaya tersebut dilaporkan oleh pelajar praktikal yang sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum operasi menangkap dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar.

Pihak pengurusan premis bertindak mengeringkan kolam, manakala beberapa das tembakan dilepaskan oleh Jabatan Hidupan Liar bagi mengawal pergerakan reptilia itu.
Difahamkan, peralatan cangkuk milik Jabatan Hidupan Liar turut mengalami kerosakan akibat kekuatan haiwan tersebut sebelum ia berjaya dikawal.
Reptilia berkenaan kemudiannya diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.
Sumber: APM Tawau
