Kerajaan Sabah cadang bina Taman Perindustrian 13,000 ekar di Kota Belud

e3ec601f 555a 47fe 9ae8 244757b9c87f 1

KOTA BELUD: 26 Mac 2026 – Kerajaan Sabah telah mengenal pasti kawasan seluas 13,000 ekar di Kota Belud untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian baharu, yang bakal dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada kelulusan Kabinet Negeri.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata pelan induk projek berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah akan datang.

Beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata, pembentangan tersebut selaras dengan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sabah.

Menurut Ewon, projek itu akan dilaksanakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), iaitu agensi di bawah kementeriannya.

“Selaku agensi yang diberi mandat untuk melaksanakan taman perindustrian ini, kita akan mengangkat kertas kabinet ini. Saya amat yakin Ketua Menteri dan ahli-ahli Jemaah Menteri yang lain dapat memberi sokongan terhadap cadangan ini, seterusnya membolehkan kita memulakan usaha pemasaran dan menarik para pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Kampung Tegudon, di sini, kelmarin.

Ewon memaklumkan kawasan cadangan itu terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan yang bersempadan dengan Kota Marudu dan Kota Belud, berhampiran pesisir pantai.

“Sudah tiba masanya Kota Belud mempunyai aktiviti ekonomi yang lebih besar seperti taman perindustrian yang boleh menjana ekonomi, selain Pekan Kota Belud,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan akan mengetuai misi perdagangan ke luar negara bersama Ketua Menteri, termasuk ke China, bagi menarik pelabur berpotensi.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat tempatan dan luar negara untuk menggalakkan pelaburan di kawasan ini,” katanya.

“Inisiatif ini dilaksanakan bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperkasa ekonomi Sabah, menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dan membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan untuk terlibat dalam rantaian perkhidmatan industri,” tambahnya.

Sebagai wakil rakyat di kawasan Kota Belud, Ewon menyatakan rasa bangga kerana projek ini bakal menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Peluang ini terbuka kepada usahawan sedia ada untuk menyertai aktiviti rantaian perkhidmatan ataupun kepada para graduan warga Kota Belud untuk bekerja dengan perusahaan-perusahaan di Taman Perindustrian Kota Belud ini kelak,” katanya.

Projek pembangunan taman perindustrian ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sabah secara menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal