KOTA KINABALU: 19 Mac 2026 – Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau mempelawa semua 111 wakil rakyat Sabah menyumbang RM5,000 setiap seorang untuk membantu NGO Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) menampung kos perundangan.

Beliau berkata, SABAR memerlukan dana sebanyak RM500,000 sebelum 30 April 2026 untuk meneruskan cabaran di Mahkamah Persekutuan berkaitan tuntutan hak pelantar benua Sabah.
Menurutnya, tindakan itu bertujuan menuntut semula hak pemilikan negeri ke atas dasar laut, pelantar benua dan hasil bumi yang telah termaktub sejak 1954 melalui The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, sebelum pembentukan Malaysia.
Namun, hak tersebut didakwa terjejas selepas pelaksanaan Akta Laut Wilayah 2012.Madius menjelaskan, Sabah mempunyai 111 wakil rakyat terdiri dari 25 Ahli Parlimen, 73 ADUN, tujuh Senator dan enam ADUN Dilantik.
Jika setiap seorang menyumbang RM5,000, jumlah RM555,000 dapat dikumpulkan sekali gus melepasi sasaran dan menunjukkan solidariti kepimpinan negeri.
Beliau turut memuji tindakan awal Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin dan Ahli Parlimen Kudat Verdon Bahanda yang telah menyumbang kepada kempen tersebut.
Tambahnya, SABAR kini mencatat perkembangan positif selepas memperoleh locus standi, membolehkan kes itu dibawa ke mahkamah untuk mewakili rakyat Sabah.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin mengetepikan perbezaan politik dan menyokong usaha berkenaan demi mengembalikan hasil negeri untuk pembangunan Sabah. Orang ramai juga boleh menyumbang melalui akaun CIMB SABAR atau imbasan DuitNow QR.
Penerangan Gambar Utama:Madius bersama beberapa pemimpin Sabah yang hadir menandatangani Memorandum Sokongan (MoS) semasa Majlis Berbuka Puasa dengan SABAR baru-baru ini. Turut hadir Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Verdon Bahanda (Kudat), Senator Tan Sri Anifah Aman, Datuk Nelson W Angang, Datuk Edward Linggu, ADUN Paginatan Datuk Rusdin Riman, dan bekas Presiden Sabah Law Society (SLS) merangkap ADUN Dilantik Datuk Roger Chin.
