Lebih 17,000 Liter Diesel Bersubsidi Dirampas

photo 2026 03 17 12 19 36

KOTA KINABALU: 17 Mac 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dengan rampasan sebanyak 17,850 liter bernilai kira-kira RM76,755 dalam satu serbuan di Jalan Bunga Raya, malam tadi.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, tiga lelaki tempatan ditahan selepas pemeriksaan menemukan beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket menggunakan kenderaan yang telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan bagi menyimpan dan memindahkan diesel secara haram.

Dalam operasi itu, pasukan turut menemukan sebuah tangki simpanan jenis skid tank yang mengandungi kira-kira 16,000 liter diesel.

Serbuan sekitar jam 8 malam pada 16 Mac itu dijalankan hasil maklumat orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di premis tidak bernombor berkenaan.

Polis turut merampas lima kenderaan yang diubah suai serta sebuah tangki simpanan, dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM325,205. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sumber: Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal