Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Majlis Berbuka Puasa di UMS pada Ahad lalu, Ahli Parlimen Datuk Seri Panglima Dr Jeffery G. Kitingan berkata, “Saya melihat ini sebagai peluang keemasan untuk beliau mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang benar-benar menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepenuhnya, khususnya hak Pemberian Khas 40% hasil Sabah.”

Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa, UMS pada 15 Mac 2026
Perdana Menteri dengan tegas menyatakan: “Kita tidak akan merayu kes 40% itu. 40% itu sudah selesai. Kes ditutup. Tiada perbincangan. Setakat kerajaan ini, kita telah memberikan jaminan yang jelas. Ini adalah komitmen yang teguh… Kita komited untuk menunaikan komitmen kita sebanyak 40% kepada rakyat Sabah. Muktamad.”
PMX seharusnya bertindak sesuai dengan kata-katanya, dan mengambil peluang keemasan ini sebagai Perdana Menteri yang pertama melaksanakan hak 40% hasil Sabah dan keseluruhan MA3.
Seperti yang diakui oleh PMX, formula 40% jelas termaktub dalam Perlembagaan. Kerajaan Madani tidak harus merujuk kepada sejarah Kerajaan-kerajaan sebelum ini dan tidak memberi pelbagai alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hak Pemberikan Khas 40% hasil tersebut.
Dr Jeffrey berkata “beberapa perkara yang masih kabur dan PM Anwar tidak menjawab langsung persoalan dasar mengenai rayuan keputusan mahkamah hak 40% hasil Sabah, dan hanya mengelak sambil mengelirukan rakyat dengan bermain perkataan tidak rayu terhadap hasil 40% itu.”
Keputusan mahkamah Tinggi Kota Kinabalu adalah jelas dan nyata tanpa apa-apa kekeliruan. Isu pertama hak 40% adalah hak berperlembagaan Sabah. Seterusnya, mahkamah memutuskan Review Kedua yang mandatori di bawah Artikel 112D, yang seharusnya diadakan pada 1974 tetapi gagal diadakan sejak 1974. Ketiga, mahkamah mengarahkan review diadakan dalam tempoh 90 hari dan mengusahakan persetujuan jumlah 40% dalam tempoh 180 hari.
Kegagalan 90 hari mencerminkan keengganan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah untuk mengadakan review yang jelas telah mengingkari perintah mahkamah. Keingkaran ini boleh mengakibatkan pemimpin kanan kedua-dua Kerajaan dihadapkan ke Mahkamah dan bakal dipenjara atas “contempt of court”.
Jika Perdana Menteri berkata, “kita tidak akan merayu kes 40% itu. 40% itu sudah selesai. Kes ditutup”, apa yang harus dilakukan ialah tindakan pelaksanaan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah, iaitu melaksanakan Review dan menetapkan jumlah 40% yang harus dikembalikan kepada Sabah.
Jika rayuan tidak ditarikbalik dan masih diteruskan, ia hanya bermakna dan menuduh Mahkamah telah silap dengan penemuan tiada Review dilaksanakan, atau sebaliknya Review telah dilaksanakan dan Keputusan untuk mengadakan Review dan menetapkan jumlah adalah Keputusan yang salah oleh Mahkamah. Ini adalah teras dan objektif rayuan oleh Kerajaan Persekutuan yang disembunyikan disebalik tidak merayu terhadap 40%.
Kalau betul-betul tidak merayu terhadap 40% dan review adalah mandatori dibawah Artikel 112D, maka Kerajaan Persekutuan hanya perlu melaksankan apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah dengan jelasnya.
Di pihak Kerajaan Sabah, kekurangan tindakan proaktif menggambarkan kelemahan, dan dari sudut pandangan rakyat, para pemimpin Sabah kelihatan hanya tunduk dan ikut kehendak pemimpin Persekutuan.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak merayu bahagian hak 40%, tetapi hanya mahukan penjelasan kenyataan kehakiman tentang peranan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Tun Mustapha, Datuk Harris Salleh, dan Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Dr Jeffery berkata, isu nama para pemimpin boleh dibincangkan secara berasingan, jangan sekali-kali dijadikan alasan untuk menangguhkan hak kewangan negeri yang telah diputuskan mahkamah, Rakyat Sabah tidak boleh terus jadi tebusan kepada isu sejarah.
“Jika komitmen terhadap hak 40% sudah “tamat dan tidak dirunding”, mengapa perlu merayu walau sebahagian daripada penghakiman yang sama?
“Tindakan merayu, walau apa jua alasan, akan menangguhkan pelaksanaan keseluruhan perintah mahkamah termasuk tempoh 180 hari.
“Adakah dengan mempertahankan nama lama, kita wajar menggantung hak rakyat Sabah yang hidup hari ini?
“Rakyat Sabah tidak seharusnya menjadi tebusan kepada isu sejarah!” tegasnya.
Rakyat Sabah menghargai dasar Kerajaan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak, kedua-dua pengeluar minyak dan gas dan penyumbang besar kepada hasil Kerajaan. Namun, subsidi diesel tersebut bukan alasan untuk menafikan pengembalian Pemberian Khas 40% kepada Sabah dan Pemberian sewajar kepada Sarawak. Kita perlu bezakan perbelanjaan dan dasar Kerajaan dan hak berperlembagaan Sabah Sarawak yang dipersetujui pada 1963 sebagai asas pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Kita tidak boleh dan tidak akan membenarkan hak berperlembagaan kita “ditukar ganti” dengan subsidi, walaupun nilainya besar. Subsidi adalah bantuan, hak adalah hak. Jangan jadikan rakyat Sabah terpaksa memilih antara menerima subsidi atau menerima hak mereka. Kedua-duanya wajib diberikan,” tegasnya.
Mengenai pembayaran interim sebagai langkah sementara waktu sambil menunggu keputusan muktamad rundingan yang dimulakan sejak 2022, ianya adalah satu pengakuan jelas oleh Kerajaan Persekutuan sendiri bahawa selama berpuluh-puluh tahun sebelum ini, hak Sabah telah diabaikan dan tidak dilaksanakan.
Beliau bertanya, jika sebelum ini tiada masalah, mengapa perlu ada interim payment? Mengapa peruntukan ditambah hanya selepas 2022?
“Justeru, kenyataan-kenyataan saya bukanlah “omongan politik” semata-mata, tetapi berpaksikan kepada fakta dan pengakuan diam-diam melalui dasar-dasar yang diperkenalkan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan. Apa yang kami mahukan sekarang ialah penyelesaian muktamad, bukan pembayaran interim yang berpanjangan. Kami mahu formula tetap yang mematuhi semangat asal Perlembagaan, seperti yang diarahkan oleh mahkamah dalam tempoh 180 hari,” kata Dr Jeffrey.
Beliau menekankan bahawa permohonan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menggantungkan pelaksanaan keputusan mahkamah kurang 2 bulan sebelum tempoh 180 adalah tindakan terdesak akibat kegagalan dan keingkaran Kerajaan yang jelas tidak mematuhi perintah mengadakan Review dalam tempoh 90 hari. Dr Jeffrey difahamkan bahawa langsung tiada perbincangan Revise diadakan dalam tempoh 90 hari tersebut, iaitu 16hb Januari 2025.
“Saya menyeru YAB Perdana Menteri untuk membuktikan kesungguhan “komitmen kukuh” (firm commitment) yang disebutnya itu dengan tindakan nyata:
“Tarik balik rayuan terhadap penghakiman mahkamah. Biarkan proses pelaksanaan hak 40% berjalan dalam tempoh 180 hari seperti diarahkan. Jika isu sejarah pemimpin perlu diklarifikasi, lakukan secara berasingan tanpa menjejaskan hak rakyat.
“Tarik balik penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah melalui “stay”pada 3 Mac, 2026.
“Duduk semeja dengan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Hajiji Noor untuk menyelesaikan formula pengiraan 40% yang sah, telus, dan berkekalan, bukannya sekadar pembayaran interim.
“Hentikan naratif mengelirukan yang cuba mencampur adukkan isu subsidi dengan hak berperlembagaan Sabah.
“Rakyat Sabah sudah muak dengan janji-janji manis. Kini tiba masanya untuk pembuktian. Jangan biarkan keputusan mahkamah ini menjadi satu lagi dokumen lama yang terperap di Putrajaya.” Dr Jeffrey mengakhiri.
