KOTA KINABALU: 15 Mac 2026 – Meskipun terdapat laporan kekurangan bekalan beras di beberapa daerah di Sabah, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, meyakinkan bahawa bekalan beras masih mencukupi dan berada pada tahap selamat.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kekurangan yang dilaporkan di beberapa daerah bersifat sementara dan sedang diatasi melalui penghantaran oleh pembekal yang dilantik oleh Bernas Negeri Sabah.
Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras melalui sesi libat urus di kawasan jelapang padi seperti Terusan Sapi dan Kota Belud.
Beberapa perkara telah dikenal pasti untuk meningkatkan hasil padi dan beras. Kementerian Ekonomi juga telah menjamin peruntukan untuk membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar di beberapa lokasi di Sabah. Usaha ini bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negeri.
Walaupun Sabah masih bergantung kepada import beras untuk memenuhi permintaan semasa, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bekalan beras kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat melalui pelbagai inisiatif, peningkatan pengeluaran dan pemantauan berterusan.
Justeru, orang ramai diminta untuk tidak panik kerana Kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini.
