KENINGAU:15 March 2026 – Pasukan Teknologi Kimpalan Kolej Vokasional (KV) Keningau telah berjaya mendapat naib johan di pertandingan inovasi CBL-INNOLIS Conference yang dianjurkan oleh Labuan International School pada 14 Mac 2026, di Labuan.

Pasukan KV Keningau terdiri dari pelajar tahun pertama, semester pertama, Jesselgrail Hanly Hilary, Angeliquea Cortez Puyok dan Terrence Ting Chek Yung berjaya memenangi pingat emas, sijil dan RM500, manakala Johan dan tempat ketiga dimenangi oleh sekolah penganjur, Labuan International School.

Sebanyak 68 penyertaan dari seluruh negara dan hanya 20 terpilih bertanding di peringkat akhir. Mereka mempertandingkan inovasi mesin penghancur sisa hijau yang mempercepatkan proses penguraian sisa hijau untuk dijadikan baja organik.

Menurut pasukan KV Keningau, idea terhasil melalui kerjasama antara institusi dengan peladang tempatan, Keningau Nature Farm, yang mengamalkan penggunaan kompos sebagai baja tanam-tanaman di ladang.
Projek itu terdiri dari tong yang dilengkapi bilah pengisar berpusing laju untuk menghancurkan sisa-sisa hijau yang dimasukkan ke dalam tong tersebut, dan berasaskan tenaga solar sebagai sumber kuasa.

Para pelajar terlebih dahulu menghantar video, poster dan abstrak di peringkat awal mengenai projek sebelum dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berbangga atas pencapaian pasukan di bawah bimbingan guru Teknologi Kimpalan, Firdaus Sariman, dan ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Kolej, Dr Sirhajwan Idek, dan bahawa mereka merupakan pelajar tahun pertama yang baru sahaja mendaftar di kolej itu telahpun berjaya menempa kejayaan besar.
Katanya, ia mencerminkan bahawa generasi baharu sentiasa mampu meneruskan kecemerlangan kolej itu.
