KOTA KINABALU: 12 Mac 2026 – Kerajaan Negeri Sabah akan memperketatkan prosedur pengendalian standard (SOP) pengendalian railbus secara menyeluruh, susulan kejadian pelanggaran antara railbus dan motor troli di Tenom.

Langkah ini diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick di majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kelmarin.

Berdasarkan laporan awal siasatan, kejadian tersebut disebabkan oleh kehadiran motor troli di atas landasan, yang lazim digunakan sebagai pengangkutan oleh penduduk setempat, dan bukannya akibat motor troli sengaja diletakkan untuk memberhentikan railbus.
Siasatan juga mendapati railbus mengalami masalah hilang kawalan kerana kecuaian dalam memastikan sistem brek diperiksa dengan teliti sebelum beroperasi.

Walaupun begitu, pemandu railbus telah melakukan pemeriksaan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya selepas insiden, dan railbus tersebut kemudiannya meneruskan perjalanan ke Stesen Tenom dengan selamat.
Ewon Benedick menegaskan bahawa pergerakan lain tidak sepatutnya berada di atas landasan kereta api dan isu ini akan diteliti secara menyeluruh, termasuk aspek perundangan yang berkaitan.
“Saya memberi jaminan bahawa kereta api yang digunakan ketika ini masih selamat sekiranya semua prosedur dan pemeriksaan keselamatan dipatuhi,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada para pengguna perkhidmatan kereta api Sabah sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia.
Turut hadir Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Thomas Logijin dan Pengarah JKNS, Mohammad Safri Abd Habi.
