KOTA KINABALU: 6 Mac 2026 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) komited dalam memastikan kestabilan bekalan protein berasaskan ayam serta daging lembu/kerbau mencukupi bagi menampung permintaan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2026 di negeri ini.
Berdasarkan unjuran jabatan bagi tempoh lima (5) bulan pertama tahun 2026, pengeluaran tempatan bagi daging ayam dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik, manakala daging ruminan (lembu dan kerbau) adalah sebanyak 3,185 tan metrik.
Sebagai langkah proaktif bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat dalam tempoh perayaan, pihak Jabatan telah membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal bulan Disember 2025 bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil untuk keperluan rakyat.
Mengulas berkenaan rampasan produk hasilan haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang pada 3 Mac 2026 melibatkan produk berasaskan ruminan dan ayam, DVS ingin memaklumkan bahawa pihaknya telah mengesahkan tiada sitaan dibuat ke atas 542,519.16 Kg produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemua produk mempunyai lesen import yang sah.
Pihak jabatan akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di negeri ini sentiasa terjamin.
Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS)
