KOTA KINABALU: 4 Mac 2026 – Wakil rakyat Sabah bersedia menyokong tindakan undang-undang bagi mempertahankan hak 40 peratus hasil bersih negeri sekiranya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah gagal mencapai penyelesaian menjelang 15 April ini.
Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, yang mempengerusikan sesi town hall dan taklimat khas bersama Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara dari Sabah berhubung tuntutan hak 40 peratus seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, satu kesepakatan dicapai untuk menyokong sebarang tindakan yang difikirkan wajar oleh Sabah Law Society sekiranya proses rundingan tidak membuahkan hasil dalam tempoh yang ditetapkan. Isu berkenaan disifatkan sebagai perkara besar yang melibatkan hak negeri yang telah lama tertangguh dan memberi kesan langsung terhadap kedudukan kewangan Sabah.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kadar perbincangan yang dilihat perlahan, meskipun keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu dianggap signifikan terhadap hak kewangan negeri.
Difahamkan, selepas 136 hari dari tarikh keputusan tersebut, hanya tiga mesyuarat rasmi di peringkat pegawai telah diadakan, dengan berbaki 44 hari sahaja sebelum tamat tempoh 180 hari pada 15 April.
Madius memaklumkan bahawa Memorandum Rayuan yang difailkan oleh Peguam Negara Persekutuan merangkumi hampir keseluruhan penghakiman mahkamah, kecuali pengiktirafan hak 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Selain mendesak agar rundingan dipercepatkan melalui mesyuarat yang lebih kerap, wakil rakyat Sabah turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan sistem penjejakan kutipan hasil Persekutuan bermula tahun 1974 bagi memastikan ketelusan dan ketepatan pengiraan.
Madius menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak 40 peratus bukan bersifat kepartian, sebaliknya menyentuh maruah dan kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan.
Jika rundingan gagal, wakil rakyat Sabah bersedia berdiri teguh menyokong tindakan undang-undang demi memastikan hak tersebut dilaksanakan sepenuhnya.
Sumber: FB- Wilfred Madius Tangau
