KENINGAU: 3 Mac 2026 – Seramai 11 lelaki ditahan dan pelbagai kesalahan dikesan dalam Op Bersepadu bagi membanteras aktiviti lumba lari di jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa di kawasan Bandar Baru Bataras, Keningau, lewat malam Sabtu lalu.
Operasi yang berlangsung dari jam 11.30 malam hingga 3.00 pagi pada 28 Februari itu dijalankan susulan maklumat awam mengenai penganjuran aktiviti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, seramai 130 individu bersama 105 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.
Dalam operasi sama, polis turut menemui bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dan minuman disyaki air ketum.
Beliau berkata, seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan lanjut dan 10 lelaki ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Seramai 36 pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian terlibat dalam operasi berkenaan, termasuk Bahagian Siasatan Jenayah, Siasatan Jenayah Narkotik, Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Cawangan Khas serta KDNKA.
Polis menegaskan tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan yang sah, sebaliknya bagi memastikan setiap penganjuran mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Sumber: Kenyataan Media
