TAWAU: 24 Februari 2026 — Hospital Tawau mencatat sejarah baharu dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar (awake craniotomy) buat pertama kali di Pantai Timur Sabah pada 23 Februari lalu.
Kejayaan itu merupakan hasil kerjasama pasukan bedah saraf hospital berkenaan bersama pakar bius neuro dari Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II yang diketuai oleh Dr Tan Shze Ee dan Dr Andy Yap Teck Cheng dengan sokongan Dr Ting Mei Sze serta pasukan anestesiologi hospital.

Menurut kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, pesakit merupakan wanita berusia 48 tahun yang didiagnosis dengan lesi otak sejak November 2025 dan tidak menunjukkan tindak balas memuaskan terhadap rawatan awal.
“Awake craniotomy” ialah prosedur pembedahan otak yang dijalankan ketika pesakit berada dalam keadaan sedar bagi membolehkan pakar bedah menilai fungsi otak secara langsung serta meminimumkan risiko komplikasi.
Prosedur yang berlangsung selama dua jam setengah itu dilaporkan berjaya dan pesakit kini dalam keadaan stabil serta dipantau rapi.
Kejayaan ini menandakan kesiapsiagaan Hospital Tawau menyediakan rawatan bedah saraf berkualiti tinggi setanding hospital besar di negeri ini dan juga memberi manfaat kepada penduduk di Tawau dan kawasan Pantai Timur Sabah yang kini boleh menerima rawatan kepakaran tanpa perlu dirujuk ke hospital lain, sekali gus menjimatkan kos dan masa pesakit.
Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memaklumkan usaha akan diteruskan untuk memperkukuh perkhidmatan kepakaran serta memperluas akses rawatan berkualiti kepada masyarakat di seluruh negeri.
Sumber: Kenyataan Media Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
