Sarawak failkan petisyen cabar tiga akta petroleum negara

DATUK SHARIFAH HASIDAH SAYEED AMAN GHAZALI

KUCHING: 24 Februari 2026 – Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan, untuk menentukan kesahihan perlembagaan dan kesinambungan pemakaian Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966, dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 (“Akta-akta persekutuan”) ke atas Sarawak, menurut kenyataan media rasmi kelmarin.

Menurut kenyataan rasmi Pejabat Premier Sarawak, akta-akta persekutuan tersebut menjejaskan dan melucutkan hak Sarawak ke atas sumber semula jadi, termasuk minyak dan gas, yang ditemui di dasar laut Pelantar Benua di dalam sempadan seperti yang dilanjutkan dan ditakrifkan oleh Perintah dalam Majlis Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 dan Perintah dalam Majlis Sarawak (Penentuan Sempadan) 1958.

Perjanjian Malaysia 1963 dan instrumen-instrumen perlembagaan yang dilampirkan iaitu hak kedaulatan ke atas sumber petroleum di dasar laut dalam sempadan Sarawak, telah diamanahkan pada Hari Malaysia oleh Kerajaan British, kepada Sarawak dan bukan kepada Persekutuan atau Kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri merujuk kepada, perkara 2(c) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa perundangan kepada Dewan Undangan Negeri, untuk mengawal selia pelaksanaan hak petroleum tersebut melalui pengeluaran pajakan perlombongan dan sijil, dan lesen mencari gali.

Menurut kenyataan itu, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 pada asalnya terpakai kepada Negeri-negeri Tanah Melayu, tetapi dilanjutkan ke Sarawak melalui Ordinan yang diluluskan selepas Proklamasi Darurat 1969.

Namun darurat tersebut telahpun dibatalkan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Disember 2011. Oleh itu, menjelang Jun 2012, kedua-dua (2) undang-undang ini tidak sepatutnya lagi terpakai kepada Sarawak atas sebab Perkara 150(7) Perlembagaan persekutuan.

Petronas pada 10 Januari 2026 telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan beberapa undang-undang negeri yang dikatakan untuk mendapatkan penjelasan kehakiman mengenai undang-undang ini yang mengawal selia operasi, perniagaan dan aktiviti petroleum Petronas di Sarawak. Permohonan ini dijadualkan untuk pendengaran oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2026.

Kenyataan rasmi menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan membantah Permohonan ini kerana ia tidak termasuk dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak terpaksa juga memohon penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(3) dan 128 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesahihan Akta-akta persekutuan tersebut setakat pemakaiannya kepada Sarawak.

Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa, akta-akta persekutuan tersebut menjejaskan sempadan Sarawak, yang mana telah ditetapkan sebelum Hari Malaysia, dan hak Sarawak ke atas sumber petroleum yang ditemui di tanah luar pesisir di dalam sempadan Sarawak.

Ditegaskan juga bahawa adalah kewajaran untuk Sarawak melindungi kepentingan dan hak yang sah bagi Sarawak dan rakyatnya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dalam Perjanjian Malaysia bersama instrumen-instrumen perlembagaan yang dilampirkan kepadanya, dengan mendapatkan keputusan dari Mahkamah Persekutuan mengenai kesinambungan pemakaian dan kesan Akta-akta Persekutuan ini di Sarawak.

Perlu diingatkan bahawa hak Sarawak untuk mendapatkan keputusan sedemikian dari mahkamah tertinggi, termaktub dalam Perkara 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Dinyatakan juga bahawa penentuan isu-isu perlembagaan ini juga akan memberikan kejelasan mengenai rangka kerja pengawalseliaan industri minyak dan gas di Sarawak terutamanya kepada pelabur dalam perniagaan huluan dan hiliran industri tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri – Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, walaupun Petisyen telah difailkan, Kerajaan Sarawak tetap komited untuk meneruskan perbincangan yang membina dengan Kerajaan Persekutuan, untuk mencapai penyelesaian yang baik bagi isu-isu ini yang akan mengukuhkan perpaduan negara, menggalakkan penggunaan sumber minyak dan gas kita dengan lebih mampan, dan membolehkan Sarawak menyumbang dengan ketara kepada kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal