Kurang 24 jam, dua beranak ditahan kes wanita dikerat

photo 6084781645895503438 y

KOTA KINABALU: 13 Februari 2026 – Polis berjaya menahan dua lelaki, termasuk suspek utama berusia lingkungan 70-an dan anak kandungnya berusia 20-an, bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, pada Rabu.

Suspek utama diberkas kira-kira jam 5 petang dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Bukit Aman.

Tangkapan itu dibuat dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan bahagian anggota badan mangsa oleh seorang pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi.

Mangsa wanita berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan mengerikan apabila beberapa bahagian anggota badannya dijumpai di kawasan tempat pembuangan sampah berhampiran pasar raya di Taman Indah Permai.

Penemuan awal melibatkan tangan dan kaki mangsa berhampiran tempat letak kereta sebelum polis menjalankan pencarian lanjut dengan bantuan pekerja lori sampah.

Operasi susulan membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di lokasi berasingan berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai. Dua lagi anggota badan dilaporkan masih belum ditemui setakat tengah hari kelmarin dan usaha pencarian diteruskan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca dari perasaan cemburu yang mencetuskan pergaduhan antara suspek utama dan mangsa sebelum insiden berlaku.

Susulan penahanan suspek utama, polis kemudian menahan anak kandungnya berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah di Sepanggar bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.

Difahamkan, suspek utama kini ditempatkan di hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses permohonan reman dijalankan.

Sumber: Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal