KUALA LUMPUR: 12 February 2026 – Malaysia telah mengemukakan bantahan rasmi terhadap 2 undang-undang maritim yang diluluskan Filipina pada 2024 kerana didakwa menyentuh kawasan maritim negara.
2 undang-undang berkenaan ialah Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bantahan itu dibuat kerana peruntukan dalam akta berkenaan melibatkan zon serta fitur maritim yang termasuk dalam kawasan Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
Beliau menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (KUUL) 1982.
“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan ini diiktiraf masyarakat antarabangsa. Rakyat Sabah sudah melaksanakan hak menentukan sendiri atau self-determination, status kedudukan Sabah untuk berada dalam Persekutuan Malaysia.”
“Laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, lebih daripada dua pertiga rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia pada tahun 1963.”
“Pada 14 September 1963, Setiausaha Agung PBB melaporkan kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa rakyat Sabah menyokong penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Jeffrey Kitingan.
Sebelum ini, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menandatangani kedua-dua undang-undang tersebut pada 7 November 2024.
Menurut Hassan, berdasarkan koordinat yang dinyatakan dalam Presidential Decree No. 1596 tahun 1978, kawasan yang dirujuk didapati menceroboh kawasan maritim Malaysia di utara Sabah.
