Kanak-kanak 6 Tahun Rentung dalam Kebakaran di Tambunan

photo 2026 02 10 10 16 33

TAMBUNAN: 10 Februari 2026 – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui rentung dalam kebakaran yang melibatkan dua rumah dan tiga kenderaan di Kampung Patau, awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 pagi melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.

photo 2026 02 10 10 28 30

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, jentera pertama tiba pada jam 4.26 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal bersama tiga kenderaan.

Menurutnya, mangsa kanak-kanak perempuan itu ditemui rentung di dalam sebuah bilik sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Seorang lagi mangsa, iaitu wanita berusia 31 tahun, cedera ketika menyelamatkan diri dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

photo 2026 02 10 10 28 34

Beliau berkata, rumah pertama berkeluasan 40 x 50 kaki musnah sepenuhnya, manakala rumah kedua dengan keluasan sama terbakar kira-kira 90 peratus. Tiga kenderaan, iaitu Toyota Avanza, sebuah van dan Perodua Alza, turut musnah sepenuhnya.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi selepas pemeriksaan keselamatan memastikan tiada lagi risiko di lokasi kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal