Sistem pengairan akan ditingkatkan untuk atasi masalah penanaman padi di Malalap

Jamawi (dua dari kiri) melihat keadaan parit sawah padi yang menghubungkan Kampung Buna, Kampung Kasiai dan Kampung Oloson.

TENOM: 2 Februari 2026: Sistem pengairan di semua kampung dalam kawasan Melalap akan ditambah baik secara lebih efisien bagi membantu pengusaha padi, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Jamawi yang juga ADUN Malalap berkata, pihaknya menerima maklum balas dari pengusaha padi di Kampung Kasiai, Kampung Langsat, Kampung Sawang, Kampung Jawa Sumbiling dan Kampung Babalang mengenai masalah sistem pengairan yang menjejaskan aktiviti penanaman padi.

Antaranya, Kampung Kasiai yang dikunjungi kelmarin, pengusaha tidak dapat mengusahakan tanaman padi kerana sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik.

“Di Kampung Langsat pula, sistem pengairan masih tidak teratur dan menggunakan kaedah lama seperti susunan batu dan guni, begitu juga di Kampung Sawang,” katanya ketika meninjau sebuah projek pengairan yang siap dilaksanakan tahun lalu di Sungai Kampung Kalang, yang telah memberi impak positif kepada penanaman padi di kawasan berkenaan.

Jamawi (dua dari kiri) melihat keadaan parit sawah padi Jalan Langsat-Maas yang perlu diperbaiki bagi mengalirkan air ke sawah padi yang melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Langsat, Kampung Salapong dan Kampung sawang.

“Banjir besar tahun lalu telah meruntuhkan tembok yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), seperti yang dimaklumkan oleh Jurutera JPS Daerah, Lahaman Dahing. Justeru, pembinaan baharu akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Jamawi berkata, beliau akan memastikan semua kampung yang mempunyai kawasan sawah padi di DUN Melalap mendapat bantuan penambahbaikan sistem pengairan.

“Kita akan meluruskan sungai bagi memastikan bekalan air pengairan yang lebih baik, termasuk di Kampung Kasiai.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera JPS yang sanggup turun padang bersama-sama walaupun pada hujung minggu.

Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Denesly Justin serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Melalap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal