KUALA LUMPUR: 27 Januari 2026 – Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan tuntutan hak 40 peratus Sabah, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.
Ewon berkata, pelaksanaan segera perintah mahkamah tersebut penting bagi menghapuskan keraguan rakyat Sabah terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati hak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tegasnya, rakyat Sabah tidak mempertikai hak istimewa negeri lain, sebaliknya hanya menuntut pengiktirafan hak mereka bagi memastikan perpaduan dan kestabilan negara terpelihara.
“Rakyat Sabah hanya mahu hak mereka dikembalikan. Mereka tidak akan mempertikai hak istimewa negeri-negeri lain dalam Perlembagaan persekutuan, hanya mahu hak Sabah dihormati dan dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut menyoal status beberapa isu yang dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, termasuk royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, hak negeri terhadap mineral dan pelantar benua, Akta Laut Wilayah dan duti setem berkaitan urus niaga tanah di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Ewon menyuarakan sokongan terhadap agenda reformasi nasional seperti penyasaran semula subsidi kerajaan, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal Perdana Menteri, penggubalan undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta inisiatif pendigitalan kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa reformasi itu perlu merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan penuh MA63.
Dalam aspek ekonomi, Ewon berkata, Sabah sebagai wilayah strategik di Asia Pasifik yang memerlukan sokongan menyeluruh bagi menarik pelaburan, termasuk melalui inisiatif BIMP-EAGA.
Beliau juga menekankan kepentingan insentif pelaburan untuk menyokong pertumbuhan Ekonomi Biru Sabah, pembangunan taman perindustrian, cadangan zon ekonomi khas, pembinaan lapangan terbang baharu, pengembangan industri hiliran minyak sawit, pembangunan bersama Indonesia di Laut Sulawesi, serta pemulihan status bebas cukai Labuan.
Tegasnya, sumbangan Sabah terhadap hasil persekutuan melalui petroleum selama ini turut menyokong pembangunan negeri-negeri lain, justeru pelaksanaan semula hak 40 peratus amat penting bagi membiayai pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan, kesejahteraan rakyat, biasiswa, peluang pekerjaan dan peluasan perkhidmatan awam di negeri ini.
“Kawasan Parlimen Penampang sendiri memerlukan peruntukan besar bagi projek tebatan banjir, pembaikan jalan raya dan utiliti, serta pembinaan hospital dan sekolah,” tambahnya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan hak 40 peratus akan membantu memenuhi keperluan rakyat Sabah yang terus bersuara menuntut pengiktirafan hak mereka dalam kerangka Malaysia yang utuh sejak 16 September 1963.
