KOTA KINABALU : 13 Januari 2026 – Sebanyak 16 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikenal pasti masih belum diselesaikan dan akan disusuli oleh Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah dan Sarawak).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, beliau baru memulakan tugas secara rasmi dan telah menerima taklimat berkaitan pelaksanaan MA63.
“Ada enam belas perkara lagi yang masih pending dan itu saya akan susul,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa kunjungan hormat telah diadakan ke Sarawak bagi mendapatkan pandangan kepimpinan negeri berhubung pelaksanaan MA63, termasuk pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak.
Dalam masa terdekat, beliau berkata kunjungan hormat juga akan diadakan ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah serta Ketua Menteri Sabah bagi mendapatkan pandangan yang sama.
“Jadi, kita akan bawa balik pandangan-pandangan mereka dan saya sendiri akan menggerakkan sesi libat urus dengan kementerian-kementerian yang berkaitan untuk kita memulakan gerak kerja,” katanya.
Menurut beliau, usaha berkaitan MA63 sebenarnya telah dimulakan sebelum ini dan beliau merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat, khususnya Dato’ Amar Sri Padilah Yusuf.
Bagaimanapun, beliau kini diberi tanggungjawab khusus untuk membuat susulan dan memastikan perkara-perkara yang masih belum diselesaikan dapat ditangani.
Katanya, pelaksanaan MA63 akan melalui tiga peringkat, bermula dengan peringkat penyelarasan yang akan diketuai sendiri olehnya.
“Mana-mana isu yang tidak selesai akan diangkat kepada Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Dato’ Sri Fadillah, dan sekiranya masih belum selesai, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Utama MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Jelasnya, Jawatankuasa Utama MA63 turut melibatkan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Sehubungan dengan itu, Mustapha memaklumkan bahawa satu dashboard MA63 akan dilancarkan pada hujung bulan ini bagi membolehkan rakyat mengetahui kedudukan sebenar perbincangan berkaitan MA63.
“Dashboard ini akan dibuka kepada umum melalui laman web Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak supaya rakyat dapat melihat apa yang telah diselesaikan dan apa yang masih dalam proses,” katanya.
