KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, dalam satu kenyataannya baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, untuk memperkukuh kestabilan politik di Sabah, selaras dengan komitmen beliau terhadap agenda pembangunan Sabah.
Sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah, beliau menjelaskan bahawa kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah memberikan autonomi kepada PAS Sabah untuk menentukan haluan sokongan parti di negeri tersebut.
Menurutnya, faktor penting yang mempengaruhi keputusan itu adalah hubungan kerja yang baik antara Aliakbar dan Ketua Menteri Hajiji Noor selama lima tahun. Keserasian dalam kepimpinan, khususnya dalam meneruskan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, menjadi pertimbangan utama.
Kenyataan Aliakbar turut mendapat pengesahan dari Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menegaskan sokongan penuh ADUN tunggal PAS itu kepada kepimpinan Hajiji. Ia membuktikan koordinasi yang baik di dalam parti dan ketegasan dalam menentukan pendirian politik yang selaras dengan kepentingan Sabah.
Aliakbar yang sebelum ini ADUN Dilantik, memenangi kerusi DUN Karambunai dengan 7,054 undi dalam persaingan 11 penjuru semasa PRU DU Sabah Ke 17 baru-baru ini, menjadikan beliau satu-satunya wakil PAS dalam Dewan Undangan Sabah.
Sokongan terbuka beliau kepada Hajiji sekali gus mengukuhkan kestabilan politik negeri dan menyokong agenda pembangunan berasaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Sabah.
Sumber: gabunganrakyatsabah.my
