KOTA KINABALU: 11 Disember 2025 – Sabah akan memberi tumpuan besar kepada penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mulai 2026 sebagai langkah strategik meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan. Penegasan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan agenda ini sebagai teras baharu kementeriannya.
Ewon berkata kementeriannya sedang merangka inisiatif penskalaan yang lebih komprehensif, termasuk program baharu di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan beberapa langkah yang akan disokong melalui Belanjawan Negeri 2026. Kesemua usaha itu, katanya, bertujuan mengukuhkan pertumbuhan keusahawanan tempatan secara sistematik.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menyelaraskan data usahawan di Sabah berikutan hanya lebih 8,000 berdaftar dengan DIDR, sedangkan rekod lesen perniagaan menunjukkan lebih 100,000 pemilik perniagaan wujud. Ketidaksepadanan ini, menurutnya, perlu ditangani segera bagi memastikan perancangan penskalaan PMKS dijalankan dengan tepat dan berfokus.
Melalui pengalaman beliau di KUSKOP, lebih 53,000 usahawan PMKS Sabah menerima bantuan dalam satu tahun sahaja, justeru keperluan untuk menstruktur semula ekosistem data usahawan dilihat kritikal bagi menggerakkan pertumbuhan yang lebih efektif.
Program penskalaan PMKS, katanya, akan membuka keperluan tenaga kerja baharu sekali gus mendorong peningkatan pendapatan rakyat. Ia juga akan memperkukuh perniagaan tempatan supaya lebih berdaya saing dan bersedia berkembang ke tahap seterusnya.
Lawatan rasmi beliau ke DIDR hari ini merupakan sebahagian siri kunjungan ke semua jabatan dan agensi di bawah kementerian sebelum memperkenalkan inisiatif baharu. Seterusnya beliau dijangka melawat Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga.
Ewon turut menyentuh potensi Sabah Agro Industrial Park (SAIP) di Papar, yang kini masih mempunyai kira-kira 80 peratus lot belum beroperasi. Beliau menegaskan keperluan pakej promosi baharu bagi menarik lebih ramai usahawan memanfaatkan pusat perusahaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengadakan perbincangan awal dengan Bank Rakyat untuk meneroka peluang kerjasama pemasaran dan sokongan pembiayaan di taman-taman perindustrian seluruh negeri. Semua inisiatif berkaitan akan diumumkan secara rasmi pada awal Februari depan sebaik mendapat mandat dan kelulusan kabinet.
Menegaskan komitmen terhadap dasar Sabah First, Ewon berkata pembangunan ekosistem keusahawanan yang mapan adalah kunci untuk mengangkat pendapatan rakyat, khususnya dengan Sabah sering dikategorikan sebagai negeri dengan banyak daerah termiskin.
Beliau menekankan bahawa pemilikan perniagaan serta penciptaan peluang pekerjaan melalui perkembangan PMKS merupakan asas kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Dalam masa yang sama, Ewon menuntut tahap penyampaian perkhidmatan terbaik daripada kementerian dan agensi berkaitan, dengan menegaskan bahawa kepimpinan perlu menunjukkan teladan kecemerlangan bagi membentuk pasukan Sabah First yang mantap dan berkesan.
