Pasukan Pelajar Sabah Naib Johan Tarik Tali di Limbang Open International

photo 2025 12 04 09 59 18

KENINGAU: Pasukan pelajar tarik tali Kolej Vokasional (KV) Keningau yang terdiri daripada 10 orang pelajar telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan Limbang Open International Tug of War yang diadakan di padang Kompleks Sukan Limbang, Sarawak, dari 20 sehingga 23 November, 2025.

Pertandingan ini merupakan anjuran Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang. Pasukan ini berjaya memenangi wang ringgit berjumlah RM 3,000, sijil dan trofi pencapaian. Pasukan ini bersaing dalam kategori bawah 23 tahun dimana seramai 12 pasukan daripada 54 penyertaan dari seluruh Malaysia dan Brunei bertanding dalam kumpulan umur tersebut.

photo 2025 12 04 10 07 53

Pasukan ini terdiri daripada 10 pelajar yang berumur 16 sehingga 17 tahun iaitu Ahmad Mu’ammar Amin bin Amirkarn, Haiqal, Abdul Afkar Sulaim bin Yunus, Beniko Devis John, Ferdi Lasung Suzandi, Nick Syam, Langub Peter, Azizul Hisyam bin Mohammad Latif, Muhammad Adnan Kael Fitri bin Kahar dan Darren Allai.

Terdapat tiga kategori dalam kejohanan tarik tali ini iaitu kategori lelaki terbuka, kategori perempuan terbuka dan kategori bawah umur 23 tahun. Pasukan daripada Brunei berjaya mendapat tempat pertama dan ketiga dalam kategori bawah 23 iaitu Pasukan Bantaiyan Junior yang merangkul gelaran juara dengan hadiah wang berjumlah RM 5000 dan pasukan KJ Team Squad yang mendapat tempat ketiga dan membawa pulang wang ringgit berjumlah RM 2,000.

 Walaupun pasukan anak-anak Sabah ini tewas dengan tipis di peringkat akhir, mereka berjanji untuk kembali dengan lebih hebat lagi untuk kejohanan yang seterusnya lebih-lebih lagi mereka merupakan peserta termuda dan ini merupakan penampilan pertama mereka dalam kejohanan antarabangsa menurut pengurus pasukan, Nirwana Japili, yang merupakan guru di KV Keningau.

Pasukan yang dibimbing oleh jurulatih khas Norman Chan Yuen Fong ini pernah menjuarai pertandingan tarik tali di Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2025 dan di Kota Kinabalu dan Keningau pada tahun 2024.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan pasukan ini yang mempunyai disiplin yang tinggi dan semangat yang sentiasa berkobar-kobar semasa berlatih dalam sebarang pertandingan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada para pelajar ini dan berterima kasih khususnya kepada pengurus dan jurulatih atas kegigihan mereka. Dia percaya pasukan ini akan beroleh lebih banyak lagi kejayaan di masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal