Selesai Isu Asas Sabah Dalam Satu Penggal Antara Manifesto BN

Untitled design 20251122 234114 0000

KOTA KINABALU: 22 November 2025 – Barisan Nasional (BN) Sabah mengemukakan manifesto baharu melalui Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menumpukan enam tonggak utama pembangunan negeri, termasuk komitmen menyelesaikan masalah asas yang membelenggu rakyat Sabah dalam tempoh satu penggal pentadbiran.

Manifesto itu dilancarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menegaskan bahawa RPS1 digubal sebagai aku janji sebenar kepada rakyat dan bukan sekadar dokumen kempen. Walaupun BN berdepan PRN Sabah ke-17 sebagai ‘underdog’, beliau optimis rakyat masih mendambakan kepimpinan BN yang pernah mentadbir negeri itu.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa RPS1 telah dirangka lebih awal sebelum hari penamaan calon dan hanya diumumkan pada hari ini agar rakyat mempunyai ruang mencukupi untuk menilai, meneliti serta membandingkannya dengan tawaran gabungan lain.

Keyakinannya terhadap kemampuan BN Sabah turut diperkukuh dengan peranan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang disifatkan sentiasa konsisten membela rakyat meskipun berdepan pelbagai tekanan politik. Beliau turut menegaskan bahawa BN dan UMNO Sabah mempunyai autonomi penuh untuk melaksanakan semua aku janji yang digariskan dalam manifesto berkenaan.

Dengan 45 calon diketengahkan, 81 peratus daripadanya muka baharu, termasuk hampir separuh golongan profesional dan anak muda, Ahmad Zahid yakin BN Sabah mampu mengatur pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh jika diberikan mandat pada 29 November ini.

Beliau turut menamakan penyelesaian isu asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik sebagai fokus utama rakyat yang perlu ditangani segera. BN, katanya, bertekad menamatkan masalah “tiga serangkai” tersebut dalam tempoh satu penggal sekiranya kembali mentadbir.

Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Sabah menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026, menandakan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri. Beliau berkata peruntukan untuk kawasan luar bandar akan terus dipertingkat sekiranya BN kembali memegang tampuk pimpinan negeri.

Majlis pelancaran di Bangunan UMNO Sabah turut disertai kepimpinan tertinggi BN negeri dan pusat. Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru seluruh jentera BN agar memperkukuh gerak kerja di lapangan serta memastikan mesej RPS1 sampai kepada pengundi hingga ke peringkat desa dan lokaliti.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan BN bertanding di 45 daripada 73 kerusi DUN. Hari pengundian ditetapkan pada 29 November manakala undi awal berlangsung pada 25 November.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal