FINAS Terus Bantu Penggiat Seni di Sabah

photo 2025 11 08 11 38 44

KOTA KINABALU: 7 November 2025 — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneruskan komitmen membantu penggiat seni tempatan menerusi Program Lawatan Ziarah Seni MADANI yang diadakan di Sabah baru-baru ini.

Pengarah FINAS, Dato’ Hans Isaac, yang mewakili Menteri Komunikasi, YB Dato’ Sri Fahmi Fadzil, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi itu untuk mendekati dan menyantuni komuniti kreatif, selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam industri.

“Ini bukan kali pertama kami datang ke Sabah. Lawatan ini sebahagian daripada inisiatif konsisten FINAS untuk membantu industri kreatif tempatan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Sarawak dan seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui sempena program berkenaan.

photo 2025 11 08 11 38 49

Menurut beliau, antara fokus utama FINAS kini ialah pelaksanaan Star Project, sebuah inisiatif khas bagi membantu veteran industri kreatif kembali aktif berkarya.

“Star Project ini unik kerana melibatkan sekitar 60 hingga 70 peratus tenaga kerja daripada kalangan veteran sama ada sebagai pelakon, jurukamera, jurubunyi mahupun pengarah. Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi memberi peluang sebenar kepada mereka untuk kembali ke set penggambaran,” jelas beliau.

Katanya lagi, usaha itu turut menjadi platform mempererat hubungan dalam kalangan penggiat seni lama yang pernah berkarya bersama.

“Apabila veteran-veteran ini kembali bekerja dalam satu produksi, mereka dapat berjumpa rakan lama dan menghidupkan semula semangat persahabatan dalam industri. Inilah nilai kekitaan yang mahu kita suburkan,” katanya.

photo 2025 11 08 11 38 39

Dalam pada itu, Dato’ Hans turut berpesan kepada para artis dan masyarakat agar terus menyokong antara satu sama lain dalam memartabatkan industri seni tanah air.

“Jangan pernah berhenti berkarya kerana karya tidak mengenal usia. Di luar negara, pelakon berusia masih dihargai dan kita juga perlu membuka ruang untuk kisah-kisah mereka. Siapa tahu, karya veteran akan menjadi fenomena dan menarik minat penerbit tempatan,” ujarnya.

Program Lawatan Ziarah Seni MADANI yang dianjurkan FINAS ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kebangkitan industri kreatif di Sabah dan Malaysia secara keseluruhan, seiring usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan komuniti seni di bawah agenda MADANI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal