KUSKOP–Sabah Electricity Jalin Kerjasama Strategik Perkukuh Ekosistem Vendor Sabah

Gambar KUSKOP MoU SE

KOTA KINABALU: 23 Oktober 2025 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah inisiatif pembangunan vendor nasional.

Pelantikan SE sebagai syarikat Anchor baharu menjadikannya entiti pertama dari Sabah yang menyertai program tersebut. Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan vendor Bumiputera tempatan melalui pelbagai program peningkatan kapasiti, latihan teknikal dan peluasan rantaian bekalan dalam sektor tenaga.

Menurut kenyataan KUSKOP, langkah strategik ini sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI memperkukuh penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan nasional dan serantau di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Kehadiran syarikat Anchor dari Sabah diyakini dapat memperluas akses pasaran, merangsang inovasi serta mewujudkan peluang kerjasama baharu yang memberi limpahan ekonomi kepada komuniti usahawan negeri itu.

Melalui pelaksanaan PPV, Kementerian Kewangan turut menyediakan insentif potongan cukai dua kali ganda kepada syarikat Anchor yang mengambil bahagian, manakala KUSKOP berperanan memproses serta menyokong permohonan berkenaan.

Setakat September 2025, sebanyak 20 syarikat vendor telah berdaftar di bawah PPV di Sabah, melibatkan lima syarikat Anchor sedia ada iaitu SD Guthrie, TM Technology Services Sdn. Bhd., Uzma Engineering Sdn. Bhd., TH Plantations Berhad dan Ameen Products Sdn. Bhd.

Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Sabah merekodkan tujuh penerima manfaat di bawah dua program utama iaitu, Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV), dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM3 juta.

Untuk RMK-13, KUSKOP menyasarkan 15 penerima manfaat di Sabah, bersamaan 12.5 peratus daripada sasaran nasional, dengan unjuran keseluruhan pembiayaan RM57 juta, termasuk peruntukan RM11.5 juta bagi fasa pertama 2026.

MoU tersebut akan berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh dilanjutkan secara automatik bagi tempoh tambahan tiga tahun jika tiada notis pembatalan dari mana-mana pihak. Walaupun tidak mengikat secara perundangan, perjanjian ini memastikan kepentingan semua pihak termasuk kerajaan terus terpelihara secara adil dan saksama.

KUSKOP dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi inklusif melalui pemerkasaan vendor tempatan dan peluasan peluang pasaran, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, kemampanan dan keadilan ekonomi agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal