650 liter diesel disyaki diseleweng dirampas di Tawau

WhatsApp Image 2026 08 04 at 10.27.06 AM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: 4 Ogos 2026 – Sebanyak 650 liter diesel yang disyaki diseleweng dirampas dalam satu operasi di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Brantian, kira-kira jam 8.14 malam, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000.

Rampasan itu merupakan kes serahan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Antara barangan yang dirampas ialah sebuah tangki jenis IBC yang mengandungi 650 liter diesel, sebuah pam air berkuasa dua kuasa kuda (2Hp) dan hos paip minyak sepanjang kira-kira 27 meter.

Susulan rampasan itu, KPDN Tawau membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta untuk kesalahan pertama atau sehingga RM3 juta untuk kesalahan berikutnya, selain boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah RM2 juta untuk kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta untuk kesalahan berikutnya.

KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Sumber: KPDN Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal