616 Warga Filipina Dihantar Pulang Melalui Program Pemindahan PATI Siri 18

photo 2025 10 24 16 29 57

SANDAKAN: 23 Oktober 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 18 bagi tahun ini dengan memindahkan seramai 616 warga Filipina ke negara asal melalui pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pemindahan itu melibatkan tahanan daripada empat depot iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau.

Daripada jumlah tersebut, 377 lelaki, 134 wanita, 85 kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, serta 20 kanak-kanak berumur bawah dua tahun dihantar pulang menggunakan kapal MV Antonia 1.

photo 2025 10 24 16 29 45

Menurut kenyataan JIM Sabah, purata umur tahanan yang terlibat adalah antara satu bulan hingga 71 tahun. Kanak-kanak dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Sehingga kini, seramai 8,956 warga asing telah dipindahkan ke negara asal masing-masing melalui pengangkutan laut dan udara bagi tahun 2025.

Jumlah itu merangkumi 6,835 warga Filipina, 1,751 warga Indonesia, 221 warga Pakistan, 78 warga China, 34 warga Vietnam, 10 warga India, tiga warga Thailanddan 24 warga lain-lain negara.

JIM Sabah memaklumkan bahawa semua tahanan telah menjalani hukuman mengikut undang-undang dan memiliki Travel Document (TD) sah sebelum proses pemindahan dilaksanakan.

photo 2025 10 24 16 29 49

Proses penghantaran bergantung kepada tindakan segera pihak kedutaan dalam mengeluarkan TD bagi mempercepatkan pemulangan tahanan.

JIM Sabah menasihatkan majikan di negeri ini agar mengambil bahagian dalam program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod kehadiran pekerja asing, terutama dalam sektor perladangan.

Langkah ini dijangka membantu mengurangkan isu dokumentasi palsu serta lambakan PATI di Sabah.

JIM Sabah turut menegaskan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal