Kota Kinabalu, 6 Julai 2025 – Seramai 54 peserta berjaya ditauliahkan sebagai jurulatih asas Muaythai selepas menamatkan Kursus Asas Kejurulatihan Muaythai Sabah yang berlangsung selama dua hari, bermula 5 hingga 6 Julai di Arena Belia, Kota Kinabalu.
Kandungan kursus merangkumi asas kejurulatihan Muaythai, etika dan tanggungjawab jurulatih, teknik pengajaran, asas seni Muaythai waikru dan maimuay, komunikasi dalam sukan, pengetahuan sains sukan, hala tuju kerjaya jurulatih, peranan persatuan dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi, serta asas pertolongan cemas dalam latihan.
Kursus itu merupakan salah satu inisiatif untuk melahirkan jurulatih bertauliah bagi memperkukuh pembangunan sukan Muaythai di peringkat negeri.
Kursus tersebut dikendalikan oleh Coach Dhillon Tahing, Ketua Jurulatih Muaythai Negeri Sabah, yang turut bertindak sebagai penceramah utama. Beliau dibantu oleh barisan penceramah berpengalaman dalam bidang Muaythai dan sains sukan, termasuk Ir. Hj. Nazri Abdul Razak (Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah), para jurulatih seperti Mardiana Mohd. Maulana, Ranjit Singh Maan, Jonathan Quan, dan Greg Sipidi.

Turut dijemput sebagai penceramah ialah Nik Faiz, Pegawai Pusat Sains Sukan MSN Sabah dan Valerie Wong, Timbalan Pengarah Sektor Sukan, Majlis Sukan Negeri Sabah.
Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Ir. Hj. Nazri Abdul Razak dan dihadiri oleh Valerie Wong. Sijil pentauliahan disampaikan kepada semua peserta, dengan penyerahan simbolik oleh wakil peserta, Stefanus Andreas dari Sipitang.