KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperkenalkan jenama minyak masak produk sendiri yang digelar ‘Sayang’ sebagai inisiatif menjadikan komoditi itu lebih mudah diakses dan mampu dibeli orang ramai.
“Memandangkan kekurangan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi sejak akhir-akhir ini kerajaan memperkenalkan minyak masak yang murah dan mudah diperolehi orang ramai,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di majlis pelancaran produk itu di Anjung Selera, Likas dekat sini Rabu.
Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Sawit Kinabalu melancarkan minyak masak jenama sendiri “Sayang”, satu inisiatif untuk menjadikan komoditi itu lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh rakyat.
Hajiji yang juga yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata, memandangkan kekurangan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi sejak akhir-akhir ini kerajaan memperkenalkan minyak masak yang murah dan mudah diperolehi.
Ini katanya, adalah inisiatif yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat mendapatkan minyak masak mampu milik.
Minyak masak ‘Sayang’ dikeluarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB). Ia boleh dibeli dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg dan dikatakan berkualiti tinggi selain jauh lebih murah berbanding jenama minyak masak tanpa subsidi lain di pasaran.
Harga minyak masak tanpa subsidi (2kg) berharga RM13.20 manakala botol seberat 5kg berharga RM31. Harga minyak masak bersubsidi adalah kekal iaitu RM2.50 sekilogram.
Hajiji berkata, kapasiti pengeluaran bulanan Sawit ialah 150 tan untuk minyak masak bersubsidi dan 100 tan untuk minyak masak tanpa subsidi.
“Saya harap ini dapat menyelesaikan isu kekurangan minyak masak di pasaran,” katanya menambah bahawa minyak masak itu akan dipasarkan di seluruh Sabah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie berkata, KEOSB akan bekerjasama dengan syarikat tempatan seperti Pasar Raya Sthamin dan melantik beberapa ejen pemasaran untuk memasarkan minyak masak itu.
Sawit Kinabalu menerusi sebuah lagi anak syarikat, Kunak Refinery Sdn Bhd juga akan membekalkan minyak masak bersubsidi (paket 1kg) kepada rakyat di negeri ini.
Terdahulu, Ketua Menteri mengadakan ‘walkabout’ untuk mengagih minyak masak Sayang kepada penjaja makanan di Anjung Selera.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Datuk Rubin Balang, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pengurus Besar Sedcovest Holdings Amir Karim, Pengarah Urusan Sthamin Busthamin Haji Paita dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu.
– Tv Sabah News
0 Comments