KENINGAU: 8 April 2026 – Seramai 35 pelajar berkeperluan khas dari Kolej Vokasional (KV) Keningau menyertai program Kaki Bangku Soccer Clinic (KBSC) yang berlangsung di padang kolej berkenaan, dalam usaha memperluas akses kepada aktiviti sukan inklusif.
Menurut Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, program yang mendapat sokongan US Embassy Kuala Lumpur itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh pendidikan inklusif dan memberi peluang sama rata kepada pelajar berkeperluan khas untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum.

Program berkenaan dikendalikan oleh jurulatih yang merupakan alumni Sports Visitor Programme di bawah US Department of State pada tahun 2023, sebelum menubuhkan KBSC sekembalinya ke Malaysia.
Beliau berkata, peserta terdiri daripada pelajar bermasalah pendengaran dan pelajar dengan kesukaran pembelajaran berusia 16 hingga 17 tahun di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Sepanjang sesi latihan selama kira-kira dua jam, pelbagai aktiviti asas bola sepak diperkenalkan dengan pendekatan interaktif, menyeronokkan dan sesuai dengan keperluan peserta.
Menurut Lumang, guru pendidikan khas turut memainkan peranan penting sepanjang program, termasuk sebagai penterjemah bahasa isyarat bagi memastikan komunikasi berjalan lancar dan inklusif.
Barisan jurulatih yang terlibat ialah Farish Aziz Sulaiman, Addnan Sarippuddin, Rizal Abd Hamid, Abdul Rahim Abu dan Ashraffie Jusnaidi.
Program diakhiri dengan sesi praktikal yang menyaksikan peserta mempamerkan kemahiran yang dipelajari.
Selain penyampaian t-shirt dan sijil kepada semua peserta, pihak KBSC turut menyumbangkan 16 biji bola sepak kepada pihak kolej sebagai sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan pelajar.
