300 ahli Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan di Kota Kinabalu

Gambar 300 Jemaah Ditahan

KOTA KINABALU: 5 Jun 2026 – Seramai 300 individu yang dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Dewan SM Lok Yuk, Likas, pada 1 Jun.

Daripada jumlah itu, 12 individu dikenal pasti sebagai pemimpin dan penganjur utama manakala 288 lagi merupakan ahli jemaah yang menghadiri Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32.

Operasi dijalankan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran program berkenaan yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei.

Hasil semakan mendapati program tersebut mempunyai kaitan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak 2007.

Turut hadir dalam program itu ialah kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) bersama ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa merampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan, selain kira-kira 200 naskhah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut.

Dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan dan pelbagai dokumen lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan itu turut disita untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pihak berkuasa turut mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan panduan agama dari sumber yang sahih dan merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai keraguan terhadap sesuatu ajaran atau fahaman yang disebarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal