KOTA BELUD: 25 Januari 2026 — Polis mengeluarkan sebanyak 28 saman dan menyita sebuah motosikal dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di sekitar Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung.
Operasi tersebut bermula 24 hingga 25 Januari lalu, susulan aduan orang awam dan sebagai langkah pencegahan terhadap aktiviti samseng jalanan dan gangguan ketenteraman awam.
Sepanjang operasi dijalankan, 43 individu dan 30 buah kenderaan telah diperiksa, dengan pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran kenderaan dan penggunaan ekzos ubah suai.
Operasi itu melibatkan seorang pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK).
Operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan sebagai langkah proaktif polis bagi mengekang aktiviti samseng jalanan, meningkatkan keselamatan jalan raya serta memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas dalam kalangan pengguna jalan raya.
Sumber: Polis Daerah Kota Belud
