KOTA KINABALU: 03 April 2026 – Sebanya 23 struktur haram di kawasan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan diroboh dalam satu operasi bersepadu, 1 Februari lalu.
Struktur sementara yang dibina menggunakan kanvas dan batang kayu itu dipercayai dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak operasi penguatkuasaan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Pemeriksaan di lokasi turut mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai bekalan air dan elektrik, selain berada dalam keadaan tidak terurus serta berisiko dari segi keselamatan dan kebersihan.
Dalam operasi sama, pihak polis menahan seorang lelaki dewasa untuk siasatan lanjut selepas pemeriksaan dokumen dijalankan di lokasi.
Operasi yang bermula jam 1.45 petang itu berakhir sekitar jam 6 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Operasi bersepadu itu melibatkan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk dari Balai Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).
DBKK dalam kenyataan memaklumkan akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan untuk memastikan kawasan bandaraya bebas daripada penempatan haram, di samping memelihara keselamatan, kesejahteraan awam dan kelestarian persekitaran selaras dengan aspirasi Bandaraya Pintar dan Lestari.
