KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025 – Sebanyak 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dikesan positif HIV sepanjang tahun 2024, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, kebanyakan mereka berusia antara 18 hingga 19 tahun, sekali gus menunjukkan golongan muda sangat terdedah kepada aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum, dan penyalahgunaan dadah.
“Dalam tempoh lima tahun, iaitu 2020 hingga 2024, jumlah keseluruhan pelajar IPT yang disahkan menghidap HIV mencecah 1,091 orang,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, semalam.
Katanya, bagi tahun 2024 sahaja, negara merekodkan 3,185 kes baharu HIV, dengan trend peningkatan dalam kalangan belia semakin membimbangkan.
Lukanisman turut mengakui, undang-undang semasa menyukarkan remaja bawah umur mendapatkan kit ujian kendiri HIV tanpa keizinan ibu bapa, sekali gus menghalang akses awal kepada pengesanan dan rawatan.
Bagi mengekang penularan HIV dalam kalangan pelajar IPT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program PROSTAR 2.0, pemberian PrEP (Profilaksis Pra-Pendedahan), serta memperluas ujian saringan secara sukarela dengan kerjasama NGO.
“KKM juga sedang mengkaji keperluan mewajibkan ujian HIV bagi penuntut baharu IPT sebagai langkah pencegahan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beberapa pihak termasuk persatuan mahasiswa menggesa kerajaan memperkenalkan pendidikan seksual berasaskan nilai agama, selain memperkukuh program kesedaran dan sokongan psikososial di kampus bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa.
Sumber, Sinar Harian