KOTA KINABALU: 14 Ogos 2026 — Seramai 194,265 penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY Kota Kinabalu sejak mula beroperasi pada 1 April hingga 10 Ogos lalu.
Jumlah itu direkodkan menerusi dua laluan awal, S01 dan S05, sebelum perkhidmatan BAS.MY diperluaskan kepada lapan laluan mulai 11 Ogos lalu.
Perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu disediakan menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) dengan peruntukan RM17.6 juta setahun atau RM88 juta untuk tempoh lima tahun.
Sebanyak 48 bas baharu disediakan untuk menghubungkan KK Sentral dan Pekan Menggatal melalui lapan laluan.
Perkhidmatan itu beroperasi setiap hari bermula 5.30 pagi hingga 11 malam dengan kekerapan antara 15 hingga 30 minit.
BAS.MY turut menyediakan kad konsesi percuma kepada pelajar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, dengan 960 pendaftaran direkodkan setakat ini.

