18 lelaki ditahan susulan rusuhan di Kampung Air

copy 7DC8B30E 4FB2 4373 ADF4 0B4F39B9AEAE

KOTA KINABALU: 5 Jun 2026 – Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di Kampung Air awal pagi tadi, termasuk satu kes yang menyebabkan seorang lelaki cedera ditikam dengan objek tajam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4 pagi di sebuah premis makanan di Kampung Air.

Menurutnya, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan di bahagian betis kanan selepas ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari perselisihan faham antara beberapa individu di premis berkenaan sebelum menjadi pergaduhan.

Mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan kemudiannya diserang oleh beberapa suspek.

Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan berlaku di lokasi sama berkaitan dengan kejadian terdahulu.

Menurutnya, seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul.

Bertindak atas hasil risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kota Kinabalu menahan 18 lelaki untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas beberapa barang berkaitan kejadian termasuk sebatang hulu senjata dan satu sarung untuk menyimpan senjata tajam.

Tambahnya, hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 bagi membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal