KOTA KINABALU: 1 September 2026 — Sebanyak 179 kontinjen dari pelbagai agensi dan lapisan masyarakat menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sabah 2026 di pusat bandar raya Kota Kinabalu, kelmarin.
Perarakan itu disaksikan kira-kira 50,000 rakyat yang membanjiri kawasan sambutan seawal jam 6 pagi.
Penyertaan membabitkan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat.
Daripada keseluruhan kontinjen, 10 muncul juara dalam kategori masing-masing.
Sekolah Kebangsaan Api Api Kota Kinabalu menjuarai kategori sekolah rendah, manakala Kadet Koreksional Negeri Sabah muncul juara kategori sekolah menengah.
Komander Kesatria UiTM Sabah menjuarai kategori institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).
Majlis Belia Sabah menjuarai kategori badan bukan kerajaan (NGO).
Persatuan Etnik Bajau Tabawan Sabah (PERBATAS) muncul juara kategori persatuan etnik Sabah, sementara Kumpulan Yayasan Sabah menjuarai kategori swasta dan badan berkanun.
Kementerian Kewangan Negeri Sabah muncul juara kategori jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi peringkat negeri, manakala Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah menjuarai peringkat Persekutuan.
Jabatan Penguatkuasaan DBKK muncul juara kategori jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi peringkat negeri, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjuarai peringkat Persekutuan.
Sorakan dan tepukan gemuruh mengiringi perarakan sepanjang laluan apabila kontinjen melintasi pusat bandar raya.
Orang ramai daripada pelbagai kaum dan latar belakang berkumpul bersama, mengibarkan Jalur Gemilang dalam suasana penuh semangat patriotik.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Sumber: JAPEN

