1,714 Kes Chikungunya Dikesan di Jiangmen, Guangdong

GUANGZHOU: 21 September 2025 – Pihak berkuasa kesihatan di Jiangmen, sebuah bandar di Wilayah Guangdong, selatan China, melaporkan sebanyak 1,714 kes demam Chikungunya sehingga Jumaat.

Situasi itu mendorong kerajaan tempatan melancarkan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan Awam Tahap 3 bagi mengekang penularan wabak itu.

Dalam sidang media pada Sabtu, pegawai kesihatan menjelaskan bahawa semua kes yang direkodkan setakat ini adalah ringan dan tidak melibatkan sebarang komplikasi serius atau kematian.

Keputusan melaksanakan langkah kecemasan itu dibuat oleh kerajaan bandar Jiangmen pada Jumaat berikutan peningkatan mendadak jumlah jangkitan di kawasan tersebut.

Demam Chikungunya merupakan penyakit berjangkit akut yang disebabkan oleh virus Chikungunya dan pesakit biasanya mengalami simptom klinikal seperti demam, ruam pada kulit serta sakit pada sendi yang boleh menjejaskan aktiviti harian.

Virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti, dan pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal