14 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk dadah

Untitled design 20260207 195806 0000

SANDAKAN: 7 Februari 2026 – Seramai 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi keselamatan bersepadu yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melibatkan pelbagai kesalahan termasuk dadah pada 5 Februari lalu.

Dalam operasi itu, seramai 13 lelaki dan wanita dewasa diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Seorang lagi lelaki ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi yang melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pelbagai jabatan dan agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan itu dijalankan di kawasan bandar, penempatan setinggan, pinggir bandar dan kampung yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko.

Selain membanteras PATI, pasukan operasi turut menumpukan penguatkuasaan terhadap penyeludupan barang kawalan, bersubsidi dan tidak bercukai, dan, pemantauan laluan ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan Sandakan yang sering dieksploitasi oleh kegiatan jenayah.

ESSCOM memaklumkan operasi itu bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain mengekang jenayah rentas sempadan, penyelewengan barangan kawalan serta penyusupan PATI.

Kejayaan operasi itu juga selari dengan pelaksanaan Operasi SANGGAH ESSCOM di bawah inisiatif Kerajaan MADANI bagi memperkasa kehadiran dan keberkesanan pasukan keselamatan di Sabah Timur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal