Bot tunda langgar syarat lesen ditahan di perairan Sandakan

Gambar Bot Tunda Langgar Undang undang

SANDAKAN: 9 Februari 2026 – Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan ketika beroperasi kerana melanggar syarat lesen di perairan Sandakan, pada 7 Februari.

Penahanan dilakukan kira-kira 0.4 batu nautika di barat Pulau Nunuyan Laut pada jam 12.01 tengah malam ketika rondaan bersepadu di bawah Op SEJAHTERA, Op PLUTO TIMUR, Op CEGAH PATI dan Op TIRIS.

Pemeriksaan mendapati bot tunda berkenaan dikendalikan lima kru berusia antara 22 hingga 40 tahun, terdiri daripada empat warga tempatan termasuk seorang nahkoda serta seorang kru warga Indonesia.

Ketika ditahan, bot tersebut sedang menunda sebuah tongkang yang membawa muatan tiga tangki air berkapasiti 25,000 liter setiap satu serta 89 tong berisi air bersaiz sembilan liter.

Siasatan awal mendapati nahkoda yang mengemudi bot berkenaan tidak sepadan dengan maklumat yang dinyatakan dalam lesen sah kapal, sekali gus melanggar syarat lesen di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Keseluruhan rampasan termasuk bot tunda, tongkang, muatan dan kru dianggarkan bernilai sekitar RM100,000, dan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan penguatkuasaan berterusan akan dipertingkatkan bagi membanteras pelanggaran undang-undang maritim serta memastikan keselamatan dan pematuhan operasi di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, jenayah maritim atau kecemasan di laut disaran menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan yang beroperasi 24 jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal