1,099 atlet sertai kejohanan olahraga MSSS Ke-58 di Ranau

IMG 20260719 WA0063

RANAU: 19 Julai 2026 – Sebanyak 1,099 atlet dari 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah mula bertanding dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS) Ke-58 yang berlangsung di Kompleks Sukan Ranau, hari ini.

Kejohanan enam hari sehingga 24 Julai itu mempertandingkan lebih 20 acara balapan dan padang merentasi pelbagai kategori, sekali gus menjadi platform utama untuk mencungkil bakat-bakat baharu olahraga sekolah dan memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di negeri ini.

Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, yang diwakili Setiausaha Politik beliau, Datuk Arthur Sen Siong Choo.

1003376240
Datuk Arthur Sen Siong Choo menyampaikan ucapan perasmian mewakili YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam

Kesemua 24 PPD menghantar kontinjen masing-masing, melibatkan Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Lahad Datu, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Kudat, Kinabatangan, Beluran, Ranau, Telupid, Semporna, Kunak, Tawau, Sandakan, Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

Selaku tuan rumah, Ranau muncul sebagai kontinjen terbesar dengan 80 atlet, manakala Nabawan mencatatkan penyertaan terkecil dengan hanya 13 atlet.

Saingan dijangka lebih sengit apabila juara bertahan, MSSD Tawau, turun mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada Kejohanan Olahraga MSSS Ke-57 di Tambunan tahun lalu. Pada edisi sebelumnya, Tawau merangkul gelaran juara keseluruhan selepas mengumpul 15 pingat emas, diikuti Keningau sebagai naib juara dan Kota Kinabalu di tempat ketiga.

Kejohanan ini bukan sekadar memburu gelaran juara keseluruhan, tetapi turut berperanan sebagai saluran penting untuk mengenal pasti atlet berbakat yang berpotensi mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan, sekaligus mengukuhkan lagi pembangunan sukan sekolah di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal