1,005 Majikan Menggaji PATI Ditahan Jabatan Imigresen

Kuala Lumpur, 5 JULAI 2025 (Sabtu) — Jabatan Imigresen Malaysia menahan seramai 1,005 majikan kerana disyaki menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI) dalam tempoh antara 1 Januari hingga 3 Julai tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua majikan yang ditahan itu terdiri daripada pelbagai sektor termasuk restoran, kilang dan kedai, dan kebanyakannya adalah warga tempatan yang didapati melindungi warga asing tanpa pas atau permit yang sah.

Dalam tempoh sama, Jabatan Imigresen juga telah melaksanakan 6,913 operasi di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan terhadap 97,322 warga asing. Daripada jumlah itu, sebanyak 26,320 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan melanggar undang-undang imigresen.

Zakaria menegaskan bahawa pihaknya akan terus menggiatkan operasi dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

“Kita tidak akan membiarkan PATI berleluasa seperti yang digambarkan oleh segelintir masyarakat. Tindakan tegas akan diteruskan,” katanya.

Sumber, Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal