Yong Yit Jee Komited Jadikan Likas Hab Ekonomi Baharu

photo 2025 11 27 18 53 26

KOTA KINABALU: 27 November 2025 — Yong Yit Jee, calon nombor 5, N.19 Likas, mewakili Parti Maju Sabah (SAPP) mengetengahkan pendekatan kempen berfokuskan media sosial dan penggunaan sumber yang lebih terarah, berbeza dengan strategi pemasangan bendera secara besar-besaran oleh parti utama.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada penyampaian dasar dan penyelesaian masalah setempat, bukan sekadar persembahan visual kempen.

Bagi hala tuju pembangunan Likas, Yong mengemukakan gagasan “Sports Arena Economy” yang memberi tumpuan kepada memulihkan dan menaik taraf Kompleks Sukan Likas sebagai pemangkin ekonomi baharu.

Beliau menjelaskan bahawa fasiliti sukan yang komprehensif mampu menarik kejohanan nasional dan antarabangsa, seterusnya merancakkan aktiviti pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan industri makanan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan pusat latihan keusahawanan dan teknologi untuk belia, merangkumi kemahiran perniagaan, perakaunan, perdagangan serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI). Isu asas seperti banjir, jalan rosak, kesesakan lalu lintas dan sistem pam air turut disenaraikan sebagai keutamaan untuk tindakan segera.

photo 2025 11 27 18 53 22

Yong yang juga merupakan seorang peguam yang lantang memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menekankan keperluan memilih wakil rakyat yang memahami aspek teknikal perundangan serta hubungan negeri dan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah berpotensi melemahkan keputusan asal, sekali gus menjejaskan hak negeri sekiranya rayuan memihak kepada Kerajaan persekutuan.

Tambahan lagi, Yong menegaskan keputusan SAPP (Parti Maju Sabah) meletakkan hanya enam calon pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 sebagai strategi realistik yang memberi tumpuan kepada kerusi berpotensi dimenangi serta kawasan yang mampu diuruskan dengan berkesan.

Menjelang hari pengundian pada 29 November, Yong menyeru pengundi Sabah agar memilih calon yang berpengetahuan, berani memperjuangkan hak negeri dan komited menyelesaikan masalah setempat kerana barisan wakil rakyat yang dipilih akan menentukan hala tuju perundingan antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang, yang dianggap kritikal untuk memastikan hak Sabah terus dipertahankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal