WARISAN Tawar Hapus Hutang PTPTN dan Yayasan Sabah untuk Anak Negeri

SEMPORNA: 2 Ogos 2025 – Parti Warisan (WARISAN) tampil dengan janji besar menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, termasuk tawaran memansuhkan semua pinjaman pendidikan yang ditanggung oleh anak-anak negeri melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah.

Janji itu diumumkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam satu program komuniti di kediamannya di Semporna. Menurut beliau, langkah ini hanya akan direalisasikan sekiranya rakyat Sabah memberikan mandat kepada WARISAN untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

Mohd Shafie berkata, penghapusan hutang itu akan memberi kelegaan kepada ribuan peminjam yang kini dibebani tekanan kewangan, khususnya golongan muda Sabah yang sedang menempuh kehidupan pasca pengajian.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkenalkan dasar pendidikan percuma secara menyeluruh kepada rakyat Sabah, selari dengan keupayaan kewangan Yayasan Sabah sekiranya ia ditadbir secara berhemah.

Menurut Ahli Parlimen Semporna merangkap ADUN Senalang itu, antara langkah utama yang akan diambil ialah menstruktur semula Yayasan Sabah agar kembali menjadi institusi utama dalam membantu pendidikan dan kebajikan anak negeri.

Mohd Shafie turut memberi jaminan bahawa hasil kekayaan negeri akan dikembalikan ke dalam Yayasan Sabah bagi membolehkan pemberian biasiswa percuma kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan.

Selain pelajar, beliau turut berjanji akan memansuhkan pinjaman yang masih ditanggung oleh pegawai kerajaan, sama ada yang sedang berkhidmat atau telah bersara, sekiranya mereka masih terbeban dengan pinjaman Yayasan Sabah. Ini termasuk pelajar lepasan pengajian yang kini menghadapi kesukaran untuk membayar ansuran pinjaman seperti bayaran kereta atau sewa rumah.

Mohd Shafie turut menekankan bahawa impian ini tidak dapat direalisasikan sekiranya Yayasan Sabah kekal sebagai alat untuk memperkayakan pihak tertentu.

Beliau menyindir pihak kerajaan negeri sekarang yang disifatkannya lebih mementingkan kekayaan individu berbanding memperkukuhkan dana yayasan untuk manfaat rakyat.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi mendedahkan kira-kira 400,000 peminjam PTPTN di seluruh negara gagal membuat sebarang bayaran sejak pinjaman diberikan, membabitkan tunggakan mencecah RM5 bilion.

Bagaimanapun, tiada rekod rasmi setakat ini yang menunjukkan jumlah peminjam dari Sabah yang termasuk dalam angka tersebut.

Tawaran WARISAN ini dijangka menjadi antara isu tumpuan utama dalam PRN Sabah yang bakal berlangsung dalam masa terdekat, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan graduan yang masih terbelenggu dengan pinjaman pendidikan.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal